BEREHAT SEBENTAR

Khamis, 17 Mac 2011

SALING MELENGKAPI

Dalam hidup ini sebenarnya tiada siapa yang boleh mendabik dada bahawa dia terhebat, terbaik dan sebagainya. Memandang sepi dan sinis pada insan lain amatlah malang bagi yang sering mendabik dada ini. Tidak menghormati insan lain kerana hanya berasa sendiri sudah terlalu hebat amatlah terlebih malang. Jangan kita lupa, dunia ini Allah jadikan dengan kepelbagaian ragam, corak dan resam manusia. Bukan setakat alamayanya sahaja yang pelbagai yang mana saling memerlukan antara satu sama lain dan saling melengkapi.
Tiada satu pun yang boleh berdiri, berlari mahupun terbang dengan sendirinya. Dalam meraikan kepelbagaian ini jangan kita terlalu sombong menafikan hak dan buah bicara insan lain. Memanglah insan lain tidak dapat melihat apa yang kita nampak tetapi sedarlah juga bahawasanya kita juga tidak melihat apa yang insan lain nampak. Dalam meraikan kehidupan yang singkat ini hendaklah kita menerima kepelbagaian ini sebagai satu keraian dalam kehidupan. Kalau semua orang nak makan sahaja siapa pula yang nak memasak dan membasuh pinggan. Kalau semua orang nak memasak sahaja siapa pula yang nak memakan apa yang dimasak.
Kehidupan ini sememangnya dijadikan untuk saling melengkapi. Adanya siang adanya juga malam, adanya hujan, adanya juga panas. Perlambangan ini sudah cukup jelas untuk kita hayati. Oleh itu siapalah kita untuk mengenepikan hak dan kecenderungan orang lain. Ada kawan dan ada lawan. Kawan sebagai pemberi dorongan, manakala lawan sebagai 'check n balance' kepada diri kita. Jangan kita lupa dalam diri kita juga ada kawan dan lawan. Kalau belum pernah berjumpa maka carilah dan saling melengkapilah antaranya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan