BEREHAT SEBENTAR

Selasa, 15 Mac 2011

GURU DAN LILIN

Guru atau lebih tepat pendidik sering diibaratkan sebagai lilin. Ada yang cuba menafikannya kerana nak bagi sedap hati kononnya buat apa macam lilin membakar diri menerangi orang lain walau hakikatnya memang macam lilin. Lebih elok juga macam lilin, kadangkala aku perhatikan guru ni bukan lagi takat lilin tapi kayu api.
Kalau lilin indahlah setara mana pun diwarnakan, diukirkan dengan pelbagai bentuk tetapi bila ianya berbalik kepada fungsi asalnya menerangi kegelapan sesiapa sahaja maka tiadalah juga ertinya indah warna dan ukiran yang diberikan. Kerana itu kadangkala imej lilin itu tidak kelihatan lagi sebaliknya kayu api yang berupa hodoh tetapi fungsi yg sama memberikan nyalaan malahan yang lebih kuat dan terang.
Sebutlah apa saja yang terbaik sentiasa diberikan oleh lilin-lilin yang tahu akan fungsinya.... melainkan lilin-lilin hiasan yang sekadar mengisi almari dan dinding-dinding kepalsuan. Berdiri sombong megah tetapi lupa dirinya juga adalah lilin. Lilin-lilin sebenar ini walau pun terus membakar diri akan tetapi janganlah dilupakan jasanya yang tak kira banyaknya. Pengorbanan yang diberi tak terkira banyaknya..... masa, kewangan.... apa lagi ? Setakat sambutan hari guru setahun sekali dan anugerah tokoh guru yang kebanyakkannya kepada guru-guru yang dah bersara amatlah tidak memadai. Amatlah tidak seimbang jika melihat cara orang lain membuat jasa dan penghargaan yang mereka perolehi.
Dato'Lee Chong Wei, Safee Sali, Nicol Ann David, Azizul Hasni Awang sekadar menyebut beberapa nama yang semua orang kenal akan jasa dan peranan mereka. Terserlahkah mereka hari ini jika tidak ada jasa seorang guru yang mula membimbing dan memberi galakan kepada mereka ini diawal pembabitan mereka dalam bidang masing-masing. Ada ramai lagi insan-insan hebat yang dilahirkan dari sebuah kilang manusia yang bernama SEKOLAH.
Mungkin ramai yang terlepas pandang akan kebajikan orang-orang yang selalu memberi dorongan, galakan, latihan awal dan apa sahaja. Dibahu merekalah diletakkan kekecewaan dan kegagalan dan juga kejayaan. Seperti terlepas pandang bila tiba masa guru-guru hendak bersukan meraikan diri (sebagai contoh ) setelah berpenat lelah membimbing dan menggalakkan kecemerlangan dikalangan anak didik masing-masing, bersukan dalam keadaan serba kekurangan (peruntukan). Membawa pelajar kadangkala duit poket sendiri keluar, sendiri nak bersukan juga keluar duit poket sendiri.... Beginilah nasibnya seorang guru yang diibarat lilin yang tidak dipandang orang.
Orang mungkin akan berkata dah guru memang begitulah resamnya. Atau mungkin ada yang akan berkata jangan mengeluh. Ya benar kita hanya manusia biasa yang tahu juga erti terkilan. Samada perhatian diberi atau tidak kerja/amanah tetap dijalankan. Tanggungjawab tetap dipikul samada yang baik mahupun yang buruk. Akan tetapi alangkah indahnya jika disusuli dengan kesedaran masyarakat, majikan akan kebajikan yang terabai. Guru kepada Dato' Lee Chong Wei tidak nak minta saham amanah 100K seperti yang dia dapat, guru kepada Safee Salee juga sama tidak nak minta seperti apa yang Safee dapat bila menjuarai piala AFF Suzuki tetapi cukup sekadar penghargaan dan kebajikan yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan