Entah ada atau tidak secara rasminya aku tidak pasti akan istilah 'tidak lut'. Akan tetapi aku pasti ramai yang pernah mendengar malah menggunakan istilah ini. Tatkala kata-kata sudah tidak lut maka ibarat nasi yang diidamkan sudah menjadi bubur, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Padah paling minima adalah 'tidak lut' lagi pada kata-kata yang dilafazkan. Hamburkanlah sebanyak mana pun bait-bait puitis bahasa indah sudah pastinya tidak membawa makna lagi.
Kelukaan, kekecewaan, rasa tertipu, rasa dipermainkan dan pelbagainya lagi sudah menjadi tembok-tembok tebal yang yang bakal menangkis bingkisan kata-kata indah dari cuba untuk terus menerobos pintu akal dan tingkap hati. Ketuklah sekuat mana pun, goncanglah segegar mana pun yang pastinya keadaan sudah tidak boleh diselamatkan lagi.
Tiada gunanya menyesali sejarah yang berlaku, kerana diketika kau punya banyak ruang masa dan ketika segalanya terus dipersiakan. Melukai, menghampakan dan mengecewakan adalah permainan biasamu lantaran kau fikir dengan satu dua tindakanmu bisa membuatkan bicaramu masih boleh diberi pertimbangan. Nasi sudah menjadi bubur.... sememangnya bubur itu masih boleh dijamah akan tetapi sudah berlainan caranya. Demi mensyukuri nikmat diberi tuhan kita harus bersifat tidak membazir, maka bubur itu masih kita jamah tanpa melupakan nasi yang diidamkan.
Tatkala kata-kata sudah 'tidak lut'..... kasih berpisah sukar bertaut, siang malam asyik melalut, meracau-racau yang karut marut, hidup kelihatan asyik bergelut, dahan rapuh tempat berpaut, rentak nafas tersemput-semput, gerak geri sentiasa takut. Maka oleh itu dikala masa masih ada, perbaikilah perilaku, hentikanlah sandiwara kerana yang menanti dihadapan belum menjanjikan kata-katamu laku barang sekupang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
I Like.............
BalasPadam