BEREHAT SEBENTAR

Rabu, 18 Mei 2011

PANAS, BARA MEMBARA, GELEGAK MENGGELEGAK....

Panas, bara membara, gelegak lagi menggelegak..... ibarat kata menonton cerita lawak sudah tidak rasa lawak lagi, kisah sedih tidak menyentuh hati lagi, pedasnya makanan sudah tidak menggigit lagi, turut tidak terasa walau semanis mananya madu.
Memanglah siapalah kita ini, akan tetapi jangan disangka kuda lumba akan terus berlari ke garisan penamat sedang perutnya kosong tiada berisi, luka dikaki tidak pernah dirawati. Kandangnya bocor sudah bertahun lamanya, tatkala hujan tidur dalam kebasahan. Situan durjana terus mendabik dada yang dia punya segala. Ingin menjadi juara dalam segala peraduan.
Janganlah lupa bahawasanya panas pagi belum tentu sampai ke petang, tapai diragi belum tentu akan manis, pau diuli belum tentu akan gebu. Keperihan dan kesakitan ini sudah agak membentan, rasa jelik ini semakin meloyakan. Luka sudah semakin bernanah.
Panas semakin membara, gelegak semakin menggelegak.

Rabu, 4 Mei 2011

Berat Bahu memandang Berat Lagi mata Yang Memikul....

Dunia hari ini serba jadi... jadi tak hairanlah kalau aku dengan sengaja membalik pusingkan peribahasa yang menjadi tajuk entry kali ini. Dunia hari ini yang salah itu walau sudah terang lagi bersuluh akan tetapi oleh kerana adanya kepentingan besar disitu ianya boleh menjadi benar sebenar-benarnya. Maka begitulah jua jika ianya benar janganlah diharapkan ianya akan kelihatan benar oleh orang lain jika tiada kepentingan besar disitu.
Dunia hari ini jawapan bagi 1 + 1 bukan lagi 2, ianya boleh jadi 100 ... dunia hari ini jika benda yang kita lihat itu berwarna hitam janganlah kita menentusahkan ianya adalah hitam kerana mungkin akan ada orang lain berkata ianya adalah kuning. Maka kita tidak boleh pening, mahupun pecah kepala memikir akan dakwaan orang itu kerana dunia hari ini serba jadi.
Dunia hari ini hakikatnya dikuasai wang ringgit. Wang ringgit mungkin sudah sampai menjadi tuhan kepada sesetengah manusia. Sudah tidak ada pertimbangan peradaban, kemanusiaan jauh sekali agama. Mereka fikir dengan wang ringgit mereka boleh beli segala-galanya. Keluarga, rakan-rakan, sahabat taulan dan masyarakat. Jika ini berlaku... ops! bukan jika lagi, ianya memang berlaku... amat malanglah kita hari ini. Ada manusia bertopengkan insan mulia tetapi dalam masa sama melakukan kekejaman yang tidak tersedar oleh dirinya mahupun insan lain. Mengajak manusia kepada menyiapkan diri mengumpul kemewahan akan tetapi dalam masa sama juga mengajak manusia lupa pada tanggungjawab bermasyarakatnya.
Dunia hari ini dengan duit segaa-galanya nampak mudah. Termasuklah mata yang terang mudah menjadi kelam. Rasuah bertaburan disana sini kerana manusia amat sangat perlu kepada duit. Siang malam tiada yang lain difikirkan melainkan duit. Untuk mudah memperolehi duit pelbagai cara jalan dilalui dari usaha dari bawahan hinggalah rakus mengejar kuasa untuk mudah beroleh duit.
Dunia hari ini sudah jadi caca marba, tunggang langgang, haru biru, hilang nilai-nilai murni, hilang nilai-nilai kekeluargaan, hancur nilai-nilai persahabatan, musnah nilai-nilai kejujuran, yang ada hanya satu matlamat bahawa duit adalah segala-galanya. Kerna itu dunia hari ini sudah bukan janggal lagi sesuatu yang didepan dibelakangkan, sesuatu yang diatas di kebawahkan, sesuatu yang jelik jadi pujaan, sesuatu yang mulia jadi kehinaan.
Kerna itu juga dengan sengajanya aku mencoretkan tajuk entry ku sebagai berat mata memikul, berat lagi bahu yang memandang kerana mata sudah tidak mampu memandang dan bahu pula sudah tidak mampu untuk memikul lantaran itu kita cuba memecah tradisi dengan bertindak luar dari kebiasaan bermula dari sebaris ayat sebagai pembuka minda. Dengan harapan agar yang sesat kembali kepangkal jalan, yang meraba kembali kita sama-sama melihat.
Kepada yang merasa jelik pada aku anda sebenarnya benar-benar ketinggalan zaman......

Selasa, 3 Mei 2011

HIDUP YANG TIDAK SEIMBANG

Apa yang tidak seimbang? perbelanjaan harian dengan kadar pendapatan. Sudah amat sangat tidak seimbang. Namun dipihak kerajaan perkara ini seperti tidak ada usaha untuk membantu rakyat. Dikala harga minya dunia naik, harga minyak kita turut akan dinaikkan, tetapi dikala harga minyak dunia turun, harga minyak kita tidak juga turun. Tidak ada alasan diberikan pun, malahan tidak juga ada sebarang ulasan tentang penurunan harga. Aku bukanlah pakar ekonomi yang bijak pandai tetapi berfikir paras pemikiran aku tentang ekonomi ni, keadaan sudah sangat tidak ada seimbang.
Perbelanjaan harian meningkat berkali ganda sudah sejak sekian lama, namun tiada diikuti dengan penyeimbang dari segi pendapatan. Tidaklah nampak kesungguhan dimata aku usaha pihak berwajib untuk betul-betul membantu/membela rakyat yang semakin tertekan. Apa lagi yang dinantikan? Kesungguhan rakyat melaksanakan tanggungjawab usahlah dipersoalkan, ketika ini ingin pula kita melihat kesungguhan pihak berwajib menggunakan kuasa yang ada untuk benar-benar memberikan nilai kesejahteraan kepada rakyatnya.
Nasi yang sedang ditanak sekarang ini sudah ada dalam dua keadaan, satu sudah hampir menjadi bubur, dan satu lagi sudah semakin hangus.... fikirkanlah....